Tuesday 14 June 2011

Bila Cinta Melebihi Sayang pada Diri

Bila kita tahu tentang mengapa kita wujud di dunia, kita akan pasrah atas apa sahaja yang berlaku. Cuma terlalu bergantung pada takdir tidak juga membantu untuk kita teruskan hidup. Kalau tanpa usaha kita akan bertemu gagal selalu. Selebihnya doa dan tawakkal adalah yang terbaik selain kita benar-benar yakin akan kekuasaan ALLAH S.W.T. Sematkan dari kecil pada diri, segalanya datang pada Allah. Sehingga mana jodoh kita, bagaimana dan bila ajal kita, Macammana rezeki kita sekarang dan akan datang, yang penting kita ada keyakinan, segalanya wujud kerana semuanya telah tertulis di sana. Cuma Usaha mendapatkan dan mengemudi segalanya itu mengikut kata hati kita sendiri sambil di gerakkan oleh Allah.

Saya nak bercerita soal jodoh sebenarnya. Jangan ada yang membaca menganggap ini adalah kisah saya. Tidak. Saya cuma nak berkongsi cerita di sekeliling kita. Mudah-mudahan mata kita terbuka dan bersedia se andainya ianya akan berlaku pada diri kita dan adik beradik kita.

Dalam tulisan saya sebelum ini saya ada bercerita tentang seorang sahabat saya, yang pada saya memang agak baik dalam menjaga hal peribadi keluarga. menyembunyikan derita dari se awal perkahwinan, menyorokkan sedikit cela yang ada pada fe'el suaminya tanpa dapat di hidu orang lain, rakan dan juga keluarganya. Saya sendiri yang agak rapat (bukan rakan sekerja saya) merasa tertipu dengan kebahagiaan mereka. Masalahnya bukanlah pukul bantai cuma masalah psikologi yang menghantui dirinya. Ketahanan mentalnya menghadapi perangai seorang lelaki yang agak tidak matang rasa saya.

Saya tahu dia sakit hati, kecewa dan duka tapi, saya menghormatinya kerana masalah berat ini tidak menganggu tugas hidup hariannya. Kejadian ini juga menaikkan semangatnya untuk lebih berdikari menghadapi segalanya. Cuma saya terkilan dan sedih, bila dia mengatakan pada saya, sampai sekarangpun, tidak ada saudara mara sebelah suaminya yang mengambil apa-apa reaksi untuk membantu menyelesaikan masalah yang berlaku ini. Menelefon bertanya khabar juga tidak. Keluhannya, bukan wang ringgit yang dia tagihkan dari keluarga suaminya, sekadar menjaga air muka dan maruah suaminya cukuplah. Tak apalah sahabat. Mungkin kebahagiaan masing-masing agak utama buat masa sekarang dari derita yang kau tanggung saat ini.

Menghadapi, suami yang tidak bekerja, nafkah zahir dan batin di abaikan, memaki hamun dan menganggap dirinya terlalu jijik di mata membuatkan saya mahu menarik dia keluar dari masalahnya. Tinggalkan sahaja lelaki yang terlalu bergantung pada isteri untuk hidup itu. Tetapi bila saya fikirkan, siapalah saya untuk menghasut dia untuk melakukan keputusan drastik. Saya hanya boleh membantu dengan mendengar segala luahan hati dengan senyap dan sesekali mencelah memberi idea yang tidak terkeluar dari kebolehan saya serta menyabarkan dia. Tapi... sampai bila saya hanya mahu menyatakan sabar padanya? Sedangkan beberapa kali terlintas perkataan bodoh untuknya. Astaghfirullah... Saya sentiasa meletakkan diri saya seperti dirinya sekarang. Saya tidak mahu mengikutkan amarah dan jijik saya dengan perlakuan lelaki seperti itu.

Kawan-kawan, seandainya kita berada di tempat dia berdiri sekarang bagaimana? Bagaimana dengan basic gaji RM1000.00 pada zaman sekarang ini boleh membantu untuk dia menyelesaikan hutang rumah, kereta dan duit persekolahan, pakai, duit jajan dan makan minum anak-anak, dirinya serta lelaki yang bergelar suami itu? Saya sedih dengan kehidupannya sekarang yang terpaksa menjual kuih dan Nasi Lemak di pagi hari sebelum dia masuk kerja pada jam 8:00 pagi. Bayangkan kesibukkan dirinya setiap hari berulang-ulang melakukan kerja yang sama. setiap hari tanpa henti. Penatnya.

Bila saya tanya kenapa semuanya ini berlaku? Dia menjawab, sebab sabarnya sudah di tahap yang amat jauh ke curam. Hampir 2, 3 tahun lelaki itu berkesedapan dan sekarang dengan ekonomi keluarga yang agak tidak berubah, dia memaksa untuk lelaki itu kembali menjadi ketua keluarga. Bahunya sudah hampir jatuh menanggung beban tanggungjawab yang sepatutnya di galas suami. Dia tidak boleh lagi, dan kerana inilah mungkin keenakkan yang selama ini lelaki itu dapatkan terganggu. Maka sebab inilah lelaki yang sebelum ini agak santun bila berkata, menjadi bengis dan berubah 100%.

Itulah yang saya kata seawal penulisan ini. ALLAH itu merancang dengan sebaiknya. Dia di berikan kebolehan menjahit, memasak kuih dan kek. Tidak semua wanita berkebolehan seperti itu. Mungkin Allah sudah tentukan pada hari ini, dia tidak boleh lagi bergantung harap pada suami yang benar-benar mahu menjauhkan diri padanya. Semua yang berlaku ini mungkin adalah permulaan untuk dia kentalkan hatinya bahawa perpisahan ini mungkin akan terjadi. Jadi.. saya faham kenapa sampai sekarang dia masih menghormati, melayan dan duduk satu rumah dengan suaminya yang terang-terang menganggap dia seperti tidak wujud lagi di hati.

Mungkin dengan cara ini ALLAH mahu dia bersedia dengan perpisahan yang bakal berlaku. ALLAH masih memanjangkan usia jodoh ini mungkin untuk membuka matanya atas apa sahaja kelakuan buruk lelaki itu, biar bila jodoh terhenti mungkin cinta dan sayang itu sedikit berkurang untuk dia kurang bersedih esok.

Wahai lelaki, Nafkah zahir batin tu wajib, memburukkan isteri di luar itu bagai membalikkan najis ke muka sendiri. Perkahwinan itu sendiri adalah untuk suami mengacu isteri ke arah kebaikkan moral. Jadi bila melebihi Sepuluh tahun perkahwinan jika ianya gagal hanya kerana sikap isteri, anda sebenarnya gagal menjadi pengemudi rumah tangga.

Wahai lelaki, Curang pada pasangan itu menyakitkan. Memaki hamun itu juga mengguriskan perasaan. Seandainya benar, tidak ada rasa sayang, ambillah hati anak-anak yang sedang membesar itu. Hormatilah anak-anak ini supaya mereka terdidik sempurna seperti  kemahuan kalian. Se andainya isterimu itu gagal pada matamu, kau sebagai lelaki tunjukkan cara yang benar supaya wanita juga akan melakukan yang sama seperti kehendakkmu. Kebaikkan yang anda lakukan wahai lelaki, kebaikkan juga yang wanita akan berikan.

Padamu sahabat. Sabar..Sabar..Sabar.. itu sahaja aku mampu ucapkan. InsyaAllah aku bermohon pada ALLAH semoga rezekiku berlebihan sedikit untuk aku membantu kau meneruskan hidup bersama anak-anak. Amiiinnnn

No comments:

Post a Comment